Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Perhimpunan Rasmi pada Minggu 25 ini bermula tepat jam 7.30 pagi. Majlis dimulai dengan ucapan pengerusi
majlis diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor, lagu Sekolah dan lagu Malaysia Berjaya. Kemudian,
disusuli pula dengan bacaan doa serta Ikrar Rukun Negara dan Ikrar Murid.
Atur cara perhimpunan diteruskan dengan penyampaian sumbangan insentif kepada murid-murid yang berjaya melayakkan diri dalam bidang sukan ke peringkat negeri dan kebangsaan. Hadiah insentif ini disumbangkan oleh Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SK Taman Putra Perdana 2 sebagai galakan dan penghargaan kepada murid-murid ini.
Seterusnya, perhimpunan ini turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan Minggu Bahasa Melayu.
Ucapan Guru Disiplin: En Mohd Razis bin Shainisi
En Mohd Razis memaklumkan bahawa Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Ramadhan akan diadakan pada Hari Selasa (14 Julai 2015). Murid-murid juga dinasihatkan agar menjaga disiplin sepanjang majlis berlangsung. selain itu, beliau turut menasihati murid-murid agar tidak bermain mercun dan menjaga diri sepanjang cuti perayaan ini.
Berdasarkan tema pada minggu ini, Kemahiran Belajar, En Ahmad Mustaqiem bin Ibrahim menyarankan agar murid-murid mencari contoh-contoh karangan sama ada karangan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris melalui internet untuk dibaca. Saranan ini bertujuan untuk membantu meningkatkan kemahiran murid-murid dalam penulisan dan menambahkan pengetahuan tentang tatabahasa.
Perhimpunan bersurai pada jam 8.00 pagi.




